Aktiviti melepak semalam menjadi sesaat tegang kerana suatu sindiran atas suatu gelaran yang tidak dapat diterima oleh seseorang. Padahal yang berkata tu bukannya berniat nak sindir. Hanya mengajukan suatu rancangan itu milik seseorang dan seseorang itu adalah yang tidak digemari oleh kawan aku yang disinonimkan dengannya. Yang disinonimkan itu tiba-tiba melenting marah sedikit. Konon katanya yang mengata itu (sebenarnya tak berniat) telah mencabul gencatan senjata.
Dan pagi tadi aku berfalsafah sendiri. Mengapa harus kita marah dengan gelaran yang diberi kepada kita, sekiranya kita tidak suka dengan itu. Bukankah dengan marah itu menunjukkan kita secara tidak langsung mengakui dan menerima gelaran itu kepada kita. Padahal secara hakikat kita masih menjadi diri sendiri tidak kira kalau orang mensinonimkan kita dengan siapa-siapa. Jika difikirkan semula ada benarnya. Kalau hari ini kita tidak mengakui dengan apa jolokan yang diberi pada diri kita, kita harus diam dan jagan berkata apa. Ini kerana sedemikian laku menunjukkan kita punya identiti dan personaliti sendiri. Oleh itu kita akan terus-terusan menjadi diri sendiri tanpa memikirkan kenegatifan yang dilontarkan kepada kita.
Terkadang bila melihat lentingan orang, kita jadi lucu. Seolah umpan itu sudah dimakan oleh ikan. Dan memang itulah tujuan sebuah jolokan. Melihat kemarahan seseorang sudah jadi satu hiburan. Akhirnya yang kena menjeruk hati dan yang menjolok itu terhibur sendiri.
Menjadi diri sendiri tak semestinya dengan membina personaliti hebat, tidak juga perlu menjadi seperti lelaki idaman malaya atau diva pujaan ramai. Kalau kita seorang yang bukan siapa-siapa, dengan menolak jolokan itu sudah memadai yang kita tidak mengambil personaliti yang diberi orang kepada kita. Apatah lagi kalau ianya suatu yang tidak kita sukai.
Apa-apapun perspektif diri sendiri itu yang terpenting dalam membina imej diri sendiri. Cukuplah dengan sekadar menjadi diri sendiri dengan norma-norma dan prinsip yang tidak mengeluarkan kita dari landasan sebagai manusia biasa.
No comments:
Post a Comment