Thursday, September 23, 2010

Ulangtahun Lagi

Tak perasan bulan ni adalah ulangtahun kedua Janji Alam ini sudah berada di sini. Bermakna sudah 2 tahun juga aku menulis dalam arena blog ini. Sudah ada macam2 cerita, macam2 perasaan aku yang aku luahkan sudah berada di sini. Ini adalah entri yang ke 110 aku di Janji Alam. Macam tak percaya masa berlalu sepantas ini. Rasanya macam baru semalam aku daftarkan blog ni.

Terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang membaca blog ini. Terutamanya buat yang tersayang miss Gnie yang satu-satunya pembaca setia yang saya tahu. Kepada yang lain anggaplah segala apa yang kita bersama kongsikan di sini sebagai suatu method kita melepaskan perasaan dan pendapat kita terhadap sesuatu.

Terlalu banyak yang dilalui dalam tempoh 2 tahun ini. Dan yang pastinya sebahagian besar yang mengenali aku memahami apa yang aku cuba sampaikan di Janji Alam ini. Di ulangtahun ini aku telah selongkar semula entri-entri lepas sebagai imbauan kepada apa yang telah di luahkan di sini. Alhamdulillah Tuhan telah memberikan kita ruang masa untuk terus berbicara di sini dan aku akan teruskan untuk menulis walaupun tahun ini aku agak kurang menulis.

Sebagai mengingati ulangtahun ini, aku akan adakan entri khas untuk mengimbau tulisan-tulisan yang lepas dengan mengambil potongan ayat atau mana-mana komen yang membina dan akan di tampalkan di entri khas itu. Mungkin potongan-potongan ayat itu bagus untuk diingati dan dijadikan kata-kata motivasi buat kita.

Sekiranya anda meminati mana-mana potongan ayat, tulisan atau ayat pada mana-mana entri dalam Janji Alam yang lepas bolehlah ditampalkan di ruangan komen dengan menyebutkan tajuk entri tersebut. Tiga penyertaan terbaik dengan pilihan ayat terbaik, komen terbaik atau apa-apa sahaja perkara yang aku rasakan menarik pada penyertaan itu layak menerima hadiah eksklusif dari Janji Alam yang akan diumumkan nanti. Entri khas akan di post pada 15 Oktober 2010. Maka penyertaan ditutup pada 10 Oktober 2010. Penyertaan dari silent readers amatlah dialu-alukan

Terima kasih kerana terus membaca di Janji Alam. Semoga kita semua mendapat rahmat dan perlindungan dariNya.

Friday, September 17, 2010

Memungkinkan Segalanya

Saya adalah seorang graduan lulusan Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin. Bila sebut Usuluddin ramai yang bertanya semula kepada saya apakah yang dimaksudkan dalam Usuluddin itu. Usuluddin adalah salah satu cabang dalam pengajian Islam yang membincangkan soal-soal akidah dan ketuhanan.

“Oh! Ustazlah kiranya kau ni.” Biasanya saya hanya akan tersengih sahaja.

“Abis tu apsal pulak yang kau buat bisnes-bisnes IT ni? Mana kau belajar?”

Soalan ni yang paling selalu diajukan pada saya bila saya buat marketing atau berjumpa dengan klien saya yang baru nak mengenali saya. Kadang-kadang saya hanya menggelengkan kepala sahaja dan membiarkan mereka tidak berjawapan. Itu membuktikan segala yang mungkin bagi seseorang yang nak menceburi dalam bidang usahawan.

Kalau nak jadi usahawan tidak semestinya kita mesti menjadi siapa kita semasa kita belajar dulu. Tidak semestinya kita memperniagakan apa yang pernah kita pelajari dulu. Pada saya perniagaan adalah suatu kesenian yang tidak ternilai. Kita mampu menjadi apa yang kita mahu bilamana kita sudah menjadi usahawan. Dan sudah tentunya minat itu menjadi tonggak utama dalam mana kita menceburi sesuatu bidang keusahawanan itu.

Mengapa saya tidak memilih untuk bekerja dan makan gaji sepertimana sebahagian besar sahabat-sahabat saya yang lain semasa saya di universiti dulu? Sebahagian besar mereka kini menjadi guru di sekolah dan ada juga yang sedang meniti tangga menjadi ulama’ hebat di negara ini. Mungkin tidak sesuai untuk diri saya, dan juga mungkin jiwa saya yang terdidik dengan keusahawanan sejak suatu ketika dulu menjadikan saya meronta-ronta untuk tidak bekerja dengan orang lain.

Wang bukan segalanya sekiranya kita memahami apa sebenarnya perniagaan dan keusahawanan. Kita akan lebih menghargai nilai-nilai yang lainnya selain daripada wang yang kita perolehi dalam melakukan perniagaan. Pada saya dengan meggajikan ramai orang, merupakan suatu nilai kepada saya. Dengan memudahkan orang ramai disebabkan barang-barang yang kita jual itu merupakan suatu nilai kepada saya.

Wang juga adalah suatu nilai dalam perniagaan tapi tidak ia bermaksud suatu yang menjadikan saya harus menjadi hamba kepadanya. Memang benar suatu masa dulu saya memilih kerjaya keusahawanan kerana memungkinkan kita menjadi kaya raya. Tapi setelah beberapa tahun didalamnya, baru saya mengerti apa erti sebuah perniagaan dalam kehidupan seorang usahawan.

Saya selalu teringat kata-kata akauntan saya katanya “Nabi berkata 9 daripada 10 punca pendapatan itu adalah dengan perniagaan, tapi yang sedihnya orang kita suka sangat berebut 1 laluan yang sempit itu.” Kata-kata ini selalu menjadi azimat dalam hidup saya bilamana saya rasa lost, atau menghadapi masalah dalam perniagaan.

Saya selalu menasihati adik-adik yang baru grad untuk memulakan perniagaan sendiri. Tapi kebanyakan mereka hanya suka memberi alasan daripada cuba mencipta jalan. Tapi terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Tapi kalau memikirkan keadaan sekarang, kadar pengangguran yang tinggi di kalangan siswazah, saya tidak rasa mencari pekerjaan itu suatu pilihan baik kepada anda sambil anda masih menganggur di rumah tanpa mengusahakan sesuatu.

Anda adalah apa dan siapa yang anda fikirkan. Oleh itu pemikiran anda memungkinkan segalanya yang anda ingin jadi. Kiranya anda mahu bertindak usah lagi difikirkan bila masanya. Anda perlu bertindak sekarang. Kerana “Winners never stop but losers never start.”

Entri ini adalah sebuah entri jemputan oleh shufaad.com sebagai perkongsian ilmu dan pengalaman dalam keusahawanan dan perniagaan.

Menzalimi dalam Kekejaman

Rasanya semua dah tahu pasal kes Datuk Sosilawati Lawiya seorang jutawan kosmetik yang dikatakan dibunuh bersama 3 rakannya yang lain di suatu lokasi di Banting baru-baru ini. Dan suatu yang amat menyedihkan lagi bilamana mayat kesemua mereka telah dibakar dan abunya telah dibuang ke dalam sungai. Tambahan lagi kematiannya itu hanya diketahui seminggu selepas kehilangannya dan tepat jatuh pada hari Aidilfitri pertama tahun ini. Suatu yang amat berat terhadap keluarga beliau untuk diterima. Kalaupun dia mati sudah pasti kita semua mahu melihat jenazahnya. Sudah pasti juga kita mahu melihat beliau buat kali terakhir di saat beliau akan dikebumikan.

Kematian semacam ini membuatkan kita akan masih berharap dia akan kembali dan kita masih belum boleh mempercayai bahawa yang beliau ini sudah tiada lagi. Apatah lagi dengan dengan keluarga beliau yang juga masih mengharapkan keajaiban agar beliau kembali keran beliau seorang yang amat disayangi oleh seluruh ahli keluarganya.

Sosilawati Lawiya bukanlah seorang yang kenal rapat dengan saya. Tapi persahabatan antara saya dan adiknya telah membuatkan saya menjadi seorang yang hampir dengan beliau. Saya hanya pernah bertemu dengan beliau hanya beberapa kali di kampung beliau di Batu Pahat semasa perkahwinan adik beliau yang juga merupakan pembantu peribadi beliau. Secara personal, saya amat mengagumi wanita ini dengan empayar yang dibina setelah sekian lama walaupun beliau bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Tapi kemahuan itu menjadikan segalanya mungkin bagi seorang yang gigih seperti beliau.

Kehilangannya merupakan suatu kerugian besar kepada negara. Negara kita memerlukan lebih ramai lagi insan seperti beliau dalam membangunkan ekonomi negara dalam sektor swasta dan keusahawanan. Apatah lagi beliau merupakan seorang wanita.

Kepada kaum keluarga beliau yang mengenali saya khususnya adik dan ibu beliau, saya ucapkan takziah. Bersabar dan tabah atas apa yang terjadi kerana Allah itu maha adil dan penyayang. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Tuesday, September 7, 2010

Salam Hari Raya 1431 H

Akhirnya Ramadhan itu sekali lagi berakhir untuk yang ke sekian kalinya. Sungguh bertuah kerana sekali lagi dapat merayakan Ramadhan itu untuk tahun ini dan masih belum tahu punya kesempatan untuknya pada tahun-tahun akan datang.

Idulfitri datang pula dengan seribu satu kerahmatan, kenikmatan da segalam macam apa kemeriahan yang dimeriahkan oleh orang-orang yang menyambut rayakannya. Adakah kali ini mereka sudah tahu erti raya itu atau masih lagi membabi buta merayakannya. Tidakkah malu merayakannya kalau Ramadhannya itu tidak sempurna sepertimana yang dikehendaki-Nya. Atau sekadar bertaqlid meraikannya sepertimana mereka yang dikatakan menang dengan nafsu sepanjang Ramadhan yang berlalu itu.

Raikan raya itu sedanya dan seterbaiknya sebagaimana semampunya kita. Kalau tahun ini mampunya lebih, maka lebihan itu seharusnya disalur kepada mereka yang kurang. Jangan sekadar zakat fitrah wajib saja dianggap memadai sebagai sumbangan kepada yang memerlu.

Salam Hari Raya buat semua. Semoga Allah merahmati. Semoga kamu semua menikmati. Dan jangan lupa dengan semua janji-janjinya yang pasti.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget