Monday, July 18, 2011

Review Buku - PECAH by @nizambakeri



Novel Pecah adalah novel pertama yang aku beli semenjak aku dewasa (dewasa la sangat). Sebenarnya Pecah adalah suatu novel yang jalan ceritanya sebagai suatu yang di luar jangkaan kepada aku yang membacanya. Mungkin juga aku tak pernah membaca karya seperti Ramli Awang Murshid atau Ahadiat Akashah. Oleh yang demikian aku mungkin tidak dapat mengagak jalan cerita seterusnya walaupun sudah membaca separuh jalan novel ini.

Sebenarnya dalam Pecah ada dua watak utama dan dua situasi semasa yang diceritakan berselang-seli oleh Nizam Bakeri. Ini adalah ciri-ciri menarik novel ini. Pendekatan yang tidak mendatar dan non-straight forward storyline menyebabkan aku rasa ingin melompat untuk melangkau muka surat bagi mengetahui cerita sebenar sesebuah watak itu sebelum dikembangkan. 

Di dalam Pecah sebenarnya aku hampir tersalah anggap bahawa watak  utama cerita ini bukanlah hero dalam cerita ini. Ianya adalah cerita seorang lelaki tua yang banyak melakukan kesilapan pada waktu mudanya dan akhirnya menghabiskan  usia tuanya di rumah orang tua dan akhirnya mati sendirian. Rentetan itu telah menghasilkan watak jahat kedua iaitu anaknya yang akhirnya memusnahkan rumahtangga seorang peguam yang merupakan hero dalam novel ini.

Dari segi penulisan aku amat suka tulisan seperti ini kerana ianya kelihatan bersahaja, realiti kehidupan sebenar dan tidak membosankan kalau sekiranya 24 jam berbahasa baku seperti dalam skrip Gerakhas yang poyo itu. Tulisan ini juga menggambarkan keharmonian 1 Malaysia (lah sangat) yang mana penglibatan semua kaum dalam watak-watak cerita ini. Kesungguhan penulis ini mengambil situasi dan tempat sebenar lokasi penceritaan adalah satu pendekatan yang bagus. Ini hampir menunjukkan atau pembaca yang mengetahui tempat tersebut akan lebih merasai dan menyelami situasi itu bila mengunjungi tempat sebenar penceritaan oleh penulis. Aku suka dialog dalam novel ini. Penggunaan bahasa pasar dan suara hati watak adalah antara suatu yang sangat menyelami jiwa sebenar watak dalam cerita ini. Selain itu penggunaan kosa kata yang jarang digunakan juga menyebabkan aku teruja sehingga terpaksa mencari thesaurus Bahasa Melayu.

Dari segi kelemahan pula aku rasa dalam penceritaan kaedah siasatan polis yang diceritakan mungkin boleh dipertingkatkan dari segi kompleksitinya. Mungkin dalam novel ini kebuntuan polis mencari bukti dilihat terlalu lama dan menonjolkan sikap polis yang semberono menangkap orang yang disyaki. Mungkin itu yang cuba diungkapkan oleh penulis tentang polis Malaysia. Cerita ini aku boleh katakan sejenis cerita ala Leverage atau filem Ocean Eleven, Twelve dan Thirtee atau juga Italian Job versi Malaysia.

Kesimpulannya aku boleh bagi Nizam Bakeri 4 Bintang untuk effort beliau dalam menghasilkan novel ini. Ahu harap Nizam Bakeri akan menjadi penulis favorite aku dan akan terus menulis di masa akan datang dalam geng FIXI jugak. Kepada yang belum baca sila beli dan kepada yang dah beli sila baca dan kepada yang baca sila habiskan. Setelah habiskan silalah buat review di blog atau tweet di akaun twitter @nizambakeri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...