Aku tau kaum Melayu boleh dikatakan generasi ketiga dalam peradaban dunia. Apa yang aku nak maksudkan di sini adalah peradaban melayu adalah antara peradaban terakhir yang muncul dalam era moden dan mengalami kemajuan dari segi teknologi dan informasi. Oleh yang demikian masyarakat Melayu sangat kurang dari segi penciptaan tetapi tidak boleh dinafikan dari segi inovasi.Ini kerana di Malaysia apa yang boleh dilihat Melayu lebih cenderung menjadi penerima atau pengguna teknologi mahupun hanya sebagai pemasar bagi mereka yang berniaga. Namun dari segi penciptaan dan inovasi lain mungkin amat rendah. Oleh itu pengeluaran produk yang berunsur teknologi sangat kurang di Malaysia. Produk yang dilihat mampu mengubah kehidupan manusia dan inovasi terkini kepada dunia.
Tapi itu bukan satu isu yang aku nak utarakan. Mungkin boleh bicara di masa lain. Apa yang menjadi isu, kejahilan Melayu dalam ilmu sains menyebabkan Melayu mudah ditipu. Mereka ditipu oleh orang yang mempunyai sains karut yang tidak punya pembuktian dari segi saintifik. Sains rekaan yang tidak bersifat memudahkan manusia tetapi hanya bersifat pemburuan wang dan apatah lagi ianya menjanjikan kekayaan kepada sesiapa yang yang menjadi penjajapnya.
Sebenarnya ini berbalik kepada sikap mementingkan diri sendiri dan juga tidak selidiki apa sebenarnya yang dibawa oleh penipu. Straight to the point - pengenalan kepada produk karut seperti teknologi IR dalam kesihatan, BioDisc dan mesin elektronik perubatan yang karut marut. Persoalannya mengapa Melayu mudah percaya dengan sains karut seperti ini?
Antara jawapan yang aku dapat cari adalah pertamanya Melayu tidak mampu untuk membiayai kos perubatan yang tinggi. Dengan erti kata lain mereka cuba mencari alternatif baru yang murah dan juga percaya segala produk karut ini boleh memulihkan kesihatan dengan cepat. Yang tak masuk akalnya adalah produk tersebut semuanya sangat ajaib keberkesanannya. Padahal ianya tidak lebih daripada placebo effect. Sedikitpun tidak memulihkan penyakit hidapan mereka itu.
Keduanya Melayu memang suka jalan pintas, kalau sakit nak sembuh cepat, kalau duit nak kaya cepat. Padahal dalam mengusahakan sesuatu adalah tidak mudak dan memerlukan pengorbanan. Ini adalah hukum alam yang normal dan tidak tak dapat disangkal lagi. Kebanyakan produk ini pula lahir dalam syarikat MLM. mengapa MLM? Mengapa tidak di pasaran konvensional dan digunakan oleh pengamal perubatan? Ianya tidak lain dan tidak bukan hanya untuk perubatan tapi untuk mencari wang semata-mata. Tambahan pula dengan skim piramid yang digunapakai dalam sistem itu.
Mungkin kepercayaan anisme dulu-dulu tu mempengaruhi Melayu. Suatu yang parah boleh sembuh dengan magik. tidak perlu ubat atau rawatan doktor. guna alternatif ini yang tak tahu mana asal usul. Alternatif seperti ini dilihat semakin berleluasa dan semakin banyak menipu Melayu. Aku harap sebelum kita mempercayai sesuatu itu hendaklah menyelidiki mana ia datang dan adakah benar ianya suatu penemuan baru atau hanya kelentongan sahaja. Hargailah sains. Memang tuhan yang menyembuhkan tapi kalau membabi buta tanpa ilmu bukankah kita diperbodohkan saja namanya itu.
Rujukan : Aidid Muaddib
No comments:
Post a Comment