Ada pihak menjadi sangat patriotik sehingga sanggup bermatian dan bermandi darah demi bangsa. Mendakwa merekalah yang menjadi hero dan juga pembela setelah sekian lama menampuk di negara. Mereka kata, hanya dengan perjuangan ini, hanya dengan parti ini, dan hanya dengan bersama kami mampu menjamin survival bangsa ini untuk terus menjadi nombor satu, menjadi tuan tanah dan menjadi bangsa yang tidak dipijak oleh bangsa lain kerana kami yang memperjuangkan ini sejak dari mula.
Maka 50 tahun sudah berlalu. Sentimen itu masih bermain di bibir mereka. Perjuangan itu terus heboh di kaca skrin. Mereka itu terus memerintah dengan angkuhnya dan percaya hanya mereka saja mampu melakukan ini setelah saban tahun.
Di satu pihak lain, yang mana kaum yang tidak sama warna kulitnya dengan mereka merasa ini sudah melampau. Korupsi mereka sudah sampai kemuncak. Mereka ini sudah tidak lagi segan silu boros di luar negara. Mereka kini sudah tidak lagi fikir yang di bawah sini nasinya dibeli dengan apa.
Seperti yang aku katakan dalam artikel sebelum ini, bersentimen tak tentu pasal hanya akan membodohkan diri kita. Mendengar propaganda di TV akan menjadikan kita seorang yang hanya mahu bersentimen dan akhirnya kita menjadi seorang racist yang jijik. Jijik bila melihat kaum lain berjaya. Marah kononnya bila tahu ekuiti Melayu hanya sedikit sahaja. Malu bila anak sendiri terpaksa dihantar ke kolej swasta.
Hari ini sebenarnya kita tak mampu bersaing. Kita tak mampu bersaing kerana kita terlalu bangga dengan cogankata bumi ini bumi kita. Kita tak mampu bersaing kerana kita selalu dibantu oleh kuasa veto iaitu kuota. Kita tak mampu bersaing kerana kita mudah dan senang bekerja di sektor awam. Kita tak mampu bersaing kerana kuasa politik itu boleh berikan kita projek dan kontrak.
Kita sebenarnya tidak menang. Tapi kita dimenangkan oleh sistem. Kita terlalu takut bersaing sehingga kita tak berani merubah sistem ini. Kita tak mahu berubah walaupun kita tahu kita dirompak oleh orang yang menjalankan sistem ini. Sampai bila mahu kita kekal begini? Sampai bila kita mahu berperangai begini? Sampai bila mahu kita jadi malas begini?
No comments:
Post a Comment