Monday, May 11, 2009

Berfikir Agar Berfikir

Entri-entri di sini sememangnya tidak begitu mudah difahami. Sampai ada yang bagitau kat aku katanya bahasa yang digunakan di sini terlalu kompleks. Dan selalunya selepas habis membaca suatu entri mereka akan terus tertanya sendiri. Mengiyakan atau menidakkan akan sesuatu yang telah dilontarkan ke sini.

Sebenarnya memang aku bertujuan agar pembaca di sini mencari jawapannya sendiri. Kerna aku yakin bukan semua orang kat sini akan rajin membacanya melainkan mahu betul-betul memahami akan sesuatu yang aku utarakan ataupun sekadar membaca sedikit dan meninggalkan halaman ini dengan rasa bosan.

Kalau diajukan kepada kita sesuatu persoalan, adakah ianya merupakan suatu yang harus punya jawapan yang konkrit, atau soalan itu akan hanya tinggal sebagai satu persoalan dan akhirnya jawapan baginya itu hanya dimisterikan sebagai suatu yang tak terjawab oleh siapa-siapa. Apakah sangat penting persoalan itu dijawab atau lebih baik ditinggalkan sebegitu dan akan lahir lagi persoalan yang lain lagi. Apabila berlaku sedemikian, telah menunjukkan yang kita telah menjadiseorang yang berfikir. Dengan berfikir kita akan memperoleh sesuatu dan dengan sesuatu itu mungkin bakal menjadi sebuah jawapan kepada persoalan yang difikirkan. Sesetengah perkara harus dibiarkan tidak punya jawapan. Dan sesetengah perkara tidak memerlukan alasan atas terjadinya ia.

Kita memang dianjurkan untuk berfikir, dan di dalam kitab yang Rasul terakhir bawapun terlalu banyak anjuran agar kita berfikir. Aku mengharapkan dengan tulisan-tulisan di sini mampu membuat orang berfikir. Sudah pasti dengan berfikir itu ia punya jawapan yang berlainan kerana anjuran berfikir di sini punya suatu objektif yang tidak diberitahu dan kaedah jawapannya adalah dengan secara subjektif mengikut pandangan dimensi seseorang yang memikirkannya. Kita tidak perlu suatu jawapan yang statik dan konkrit dalam penyelesaian sesuatu persoalan. Ini kerana fleksibiliti itu boleh membuka ruang yang selebarnya agar persoalan akan sesuatu itu boleh difikirkan dari segenap sudut dan pelbagai dimensi.

Tidak kira apa, berfikir membuat kita maju. Dengan berfikir juga membuat kita mendapat jawapan yang tertentu. Sesungguhnya kalau kita tidak mengambil sedikit masa dan ruang untuk berfikir, tidak ada bezanya kita dengan mereka-mereka yang tidak punya akal seperti haiwan yang berkaki empat itu.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...