Salam Ramadhan diucapkan kepada semua. Semoga dirahmati, diampunkan dosa dan terlepas dari siksaan api neraka. Aku terpaksa buat ucapan Salam Ramadhan sebab tak ada entri khas Ramadhan tahun ni (sebenarnya malas nak buat).
Aku adalah antara follower tegar blog Saharil sejak tahun 2007 seingat aku. Maknanya sudah 4 tahun. Tapi kebelakangan ni sudah kurang sejak Saharil tinggalkan blog itu tidak berupdate berbulan lamanya yang aku pon tak pasti kenapa (aku agak Saharil putus cinta sebab entri selepas cuti lama tu kebanyakan berbaur kisah pelik putus cinta). Tapi kini aku membaca blognya semula setiap hari sepertimana dulu.
Aku pun tak ingat sejak bila aku tahu mengenai pengeluaran Tentang & Kentang. Tapi ada awalnya aku tak rasa nak beli kononnya aku dah baca semua entri beliau di blog. Tapi oleh kerana ternampak buku tu di Pesta Buku Selangor di SACC aku terus rasa nak beli. Memandangkan aku bawak duit tak cukup so aku tak beli pon. Minggu berikutnya aku suruh wife aku beli online Tentang & Kentang dari blog Sinaganaga.
Aku mula membaca Kentang terlebih dahulu kerana ianya banyak grafik dan tak perlu menghadap lama-lama. Membaca Kentang adalah seolah aku membaca komik Doraemon kerana setiap kali selepas membaca satu entri aku akan gelak berguling dari ruang tamu ke dapur. Tapi semasa berguling aku masih keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Saharil dalam entri tersebut. Adakah Saharil sekadar berlawak atau sebenarnya memang punya mesej tertentu dalam setiap entri tersebut. Apa yang pasti lukisan dan lakaran cantik (lah sangat) tersebut membuat aku berfikir dalam apakah cerita sebalik ini. Dan aku cuma berharap agar Tentang mempunyai jawapannya.
Membaca Tentang agak berbeza dengan Kentang. Tentang agak lebih serius dan kadang kadang sangat serius sehingga aku hampir mengalir air mata membacanya (Tentang Radhi). Tapi keseriusan aku mahu menangis itu tidak kusangka hanya bersifat sementara. Bila membaca Tentang Gerakhas aku rasa mahu ketawa dan berlari laju-laju kearah dinding. Ya benar, aku hampir mahu langgar dinding itu. Saharil sebenarnya membuat luahan hatinya tentang sesuatu dalam bentuk tulisan menarik dan sedikit merogol tatabahasa Melayu agar ianya tidak menjadi bacaan berat. Aku tak pasti blog lamanya itu adakah sekadar beliau menulisnya untuk dirinya sendiri atau untuk bacaan umum ketika itu. Kerana tulisan-tulisan itu adalah sangat ikhlas dan telus. Aku harap Datuk Yusof Haslam tidak tersinggung kerana ciri ciri yang disindir Saharil itulah yang menyebabkan Gerakhas mendapat rating tinggi.
Kepada pembaca semua, kalau mahu tahu inilah dua buah buku yang mampu membuatkan anda rasa ingin terjun bagunan SPRM ketika membacanya. Tulisan ikhlas yang tidak berbohong serta sinis yang menyebabkan anda senyum sendirian seperti membaca surat cinta. Sebuah buku berkulit ala pornografi sehingga anda tidak sanggup membacanya secara terbuka di rumah mertua anda. Tulisan Saharil agak mempengaruhi aku dalam menulis blog, status facebook dan twitter. Penggunaan kurungan ( ) yang kerap menjadikan ayat itu lebih menarik dan kalau anda tidak baca tulisan dalam kurungan itu pun anda boleh faham ayatnya (tetapi tidak yang tersirat) yang cuba disampaikan oleh Saharil.
Aku tahu Saharil mahu masyarakat sedar sesuatu. sesuatu yang kita selalu terlepas melihat melalui dimensi berlainan. Dan itulah menyebabkan kita selalu ditertawakan dan kita bertindak melulu dan bodoh terhadap sesuatu isu. Adakah dengan melulu menjadikan kita maju atau menjadi bodoh murakkab sahaja.
Sebenarnya aku amat berharap agar ada kesinambungan buku Kentang dan Tentang selepas ini. Walaupun di dalam Tentang sudah ada sedikit jawapan dari Kentang, namun ia tidak merungkai kesemua lukisan aneh Saharil itu. Semoga Saharil akan terus menulis dan melukis (aku sangat berharap lukisannya jadi cantik satu hari nanti) untuk terus merogol minda masyarakat agar melihat sesuatu itu dari satu sudut dan berprejudis akan sesuatu yang berlaku.
No comments:
Post a Comment