Friday, September 17, 2010

Memungkinkan Segalanya

Saya adalah seorang graduan lulusan Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin. Bila sebut Usuluddin ramai yang bertanya semula kepada saya apakah yang dimaksudkan dalam Usuluddin itu. Usuluddin adalah salah satu cabang dalam pengajian Islam yang membincangkan soal-soal akidah dan ketuhanan.

“Oh! Ustazlah kiranya kau ni.” Biasanya saya hanya akan tersengih sahaja.

“Abis tu apsal pulak yang kau buat bisnes-bisnes IT ni? Mana kau belajar?”

Soalan ni yang paling selalu diajukan pada saya bila saya buat marketing atau berjumpa dengan klien saya yang baru nak mengenali saya. Kadang-kadang saya hanya menggelengkan kepala sahaja dan membiarkan mereka tidak berjawapan. Itu membuktikan segala yang mungkin bagi seseorang yang nak menceburi dalam bidang usahawan.

Kalau nak jadi usahawan tidak semestinya kita mesti menjadi siapa kita semasa kita belajar dulu. Tidak semestinya kita memperniagakan apa yang pernah kita pelajari dulu. Pada saya perniagaan adalah suatu kesenian yang tidak ternilai. Kita mampu menjadi apa yang kita mahu bilamana kita sudah menjadi usahawan. Dan sudah tentunya minat itu menjadi tonggak utama dalam mana kita menceburi sesuatu bidang keusahawanan itu.

Mengapa saya tidak memilih untuk bekerja dan makan gaji sepertimana sebahagian besar sahabat-sahabat saya yang lain semasa saya di universiti dulu? Sebahagian besar mereka kini menjadi guru di sekolah dan ada juga yang sedang meniti tangga menjadi ulama’ hebat di negara ini. Mungkin tidak sesuai untuk diri saya, dan juga mungkin jiwa saya yang terdidik dengan keusahawanan sejak suatu ketika dulu menjadikan saya meronta-ronta untuk tidak bekerja dengan orang lain.

Wang bukan segalanya sekiranya kita memahami apa sebenarnya perniagaan dan keusahawanan. Kita akan lebih menghargai nilai-nilai yang lainnya selain daripada wang yang kita perolehi dalam melakukan perniagaan. Pada saya dengan meggajikan ramai orang, merupakan suatu nilai kepada saya. Dengan memudahkan orang ramai disebabkan barang-barang yang kita jual itu merupakan suatu nilai kepada saya.

Wang juga adalah suatu nilai dalam perniagaan tapi tidak ia bermaksud suatu yang menjadikan saya harus menjadi hamba kepadanya. Memang benar suatu masa dulu saya memilih kerjaya keusahawanan kerana memungkinkan kita menjadi kaya raya. Tapi setelah beberapa tahun didalamnya, baru saya mengerti apa erti sebuah perniagaan dalam kehidupan seorang usahawan.

Saya selalu teringat kata-kata akauntan saya katanya “Nabi berkata 9 daripada 10 punca pendapatan itu adalah dengan perniagaan, tapi yang sedihnya orang kita suka sangat berebut 1 laluan yang sempit itu.” Kata-kata ini selalu menjadi azimat dalam hidup saya bilamana saya rasa lost, atau menghadapi masalah dalam perniagaan.

Saya selalu menasihati adik-adik yang baru grad untuk memulakan perniagaan sendiri. Tapi kebanyakan mereka hanya suka memberi alasan daripada cuba mencipta jalan. Tapi terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Tapi kalau memikirkan keadaan sekarang, kadar pengangguran yang tinggi di kalangan siswazah, saya tidak rasa mencari pekerjaan itu suatu pilihan baik kepada anda sambil anda masih menganggur di rumah tanpa mengusahakan sesuatu.

Anda adalah apa dan siapa yang anda fikirkan. Oleh itu pemikiran anda memungkinkan segalanya yang anda ingin jadi. Kiranya anda mahu bertindak usah lagi difikirkan bila masanya. Anda perlu bertindak sekarang. Kerana “Winners never stop but losers never start.”

Entri ini adalah sebuah entri jemputan oleh shufaad.com sebagai perkongsian ilmu dan pengalaman dalam keusahawanan dan perniagaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...