Monday, March 30, 2009

Meminta Biar Rasa Pergi

Terkadang rasa itu masih lagi di dalam sini, terkadang ianya masih menjentik-jentik hati, dan terkadang aku masih lagi sedih sendiri walau air mata itu sudah kering dari membasahi pipi.....

Aku berharap biar ianya pergi dengan kata-kata kelu, aku sangat berharap agar cinta-cintanya itu tidak lagi menjelma di hati yang hampir mati ketika itu, dan aku teramat berharap pemergian itu suatu yang tak kuingat selalu...

Pergilah kamu dengan nista itu, pergi kamu dengan bekas-bekas kasih yang telah tersisa padaku, dan aku tahu biar masa yang akan mengubati semua luka-luka itu bersama cinta yang baharu....

Sunday, March 29, 2009

Untuk Mencintaimu - Seventeen



Untuk Mencitaimu - Seventeen



Apa yang harus aku lakukan
Untuk membuat kau mencintaiku
Segala upaya tlah kulakukan untukmu

Apa yang harus aku temukan
Untuk membuat kau menyayangiku
Inilah aku yang memilih kau untukku

reff:
Karna aku mencintaimu
Dan hatiku hanya untukmu
Tak akan menyerah
Dan takkan berhenti mencintaimu

Ku berjuang dalam hidupku
Untuk selalu memilikimu
Seumur hidupku, setulus hatiku
Hanya untukmu

repeat reff

Seumur hidupku, setulus hatiku
Ooohhhh.....

Wednesday, March 25, 2009

Menoleh Ke Belakang

Tak salah kalau sesekali menoleh ke belakang kalau kita rasa hari ini kita sesat dan tersalah jalan. Kerana bila berlaku macam tu kita akan tahu jalan mana yang harus diikut dan tidak akan tersesat lagi di masa hadapan. Mengapa harus selalu mendongak ke langit kalau jalan di hadapan masih lagi samar-samar kelihatannya?

Memang benar, kadang-kadang masa lepas tu suatu yang sgt pahit nak ditelan. Ia juga kadang-kadang menjadi suatu yang paling tidak mahu diingat pada hari ini. Tapi kalau sentiasa kita terkenangkan yang manis, akhirnya akan terlupa bahawa kemanisan itu yang kembali akan membunuh kita pada masa akan datang.

Apatah lagi kalau kita membohongi apa yang tersilap pada masa lepas. Suatu yang hanya bakal menjadi faedah sementara dan akhirnya kita sendiri yang tersepit dengan tekanan jiwa. Membohongi masa silam memang suatu yang akan memberi tekanan dalam hidup kita. Memang benar kalau yang baik itu disempadankan sahaja. Tapi kalau ia dibohongi tidak akan menjadi suatu teladan pula pada yang lain.

Kita cenderung untuk cuba melupakan suatu yang buruk yang pernah berlaku dalam diri kita. Apatah lagi suatu yang mampu akan mengubah tanggapan orang lain terhadap kita bila diceritakan semula. Ada baiknya yang buruk itu biarlah disimpan sendiri hanya teladan dan panduan yang betul diceritakan agar kesilapan lalu itu tidak lagi dilakukan oleh kita mahupun oleh orang lain yang mengenali kita.

Usah dibohongi hati itu, kerana memori buruk itu memang pastinya tak akan terpadam walaupun kita cuba menukarkannya dengan fantasi lain yang kononnya yang baik itu berlaku terhadap diri kita. Sesekali pandanglah ke belakang, mana tahu ada panduan. Sesekali tanyalah yang lebih tua dalam kehidupan, mana tahu ada teladan. Kalau itu mampu menundukkan kita dari mendongak ke langit, barulah cerita bagaimana nak pandang ke hadapan.


Friday, March 20, 2009

Subjektif Yang Berdimensi

Hari ini memang kita selalu bertelagah, bersalah faham dan mungkin sedikit bertekak, hanya kerana kesilapan yang dilihat sebagai suatu kesalahan dan juga mungkin sesuatu yang difikirkan betul tapi salah di mata yang lain. Inilah yang dikatakan sebagai suatu yang subjektif kerana setiap sesuatu itu punya dimensinya sendiri apabila dilihat dari sudut yang berbeza.

Suatu yang amat biasa jika dilihat dari pada masa yang telah lalu pertelagahan ini boleh dikatakan sesuatu yang amat perlu dalam kita menyampaikan suatu niat dan juga perndapat akan sesuatu. Kalau kita terus mengatakan suatu itu salah dan betul maka ianya akan menjadi sangat statik dan hanya akan beku seperti itu sahaja tanpa ada perubahan. Perkara ini boleh dilihat dalam banyak konteks. Tidak tertakluk kepada suatu. Tidak kira dalam soal hidup, soal cinta, soal politik, ekonomi dan sebagainya. Seperti dalam entri yang lepas aku kata sesuatu yang kita lihat adalah menjadi sepertimana yang kita fikirkan.

Adakah bila menilai sesuatu yang subjektif ini akan menyebabkan kita mengatakan semua pendapat dan juga pandangan akan sesuatu itu semuanya adalah betul pabila kepihakan diri kita tidak diletakkan dimana-mana belah dimensi yang cuba kita lihat? Kalau begitu sememangnya membuat keputusan adalah suatu perkara yang paling sukar dibuat selain kita melakukan perkara-perkara lain dalam kehidupan seharian.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa perbezaan dimensi itu akan membawa percanggahan tapi pada matlamatnya adalah sama yang mana ianya bagi mencapai suatu keputusan pasti. Sebagai contoh dalam Islam sendiri telah wujud pelbagai mazhab dan fahaman yang menunjukkan kepelbagain dimensi yang dilihat oleh para ulama' dalam mengistinbatkan suatu hukum. Tidak kira didalam apa jua perbincangan dalam suatu hukum sama ada dari segi fiqh atau pun tasawuf yang juga melibatkan perkara-perkara lain seperti falsafah dan juga mantiq.

Adakah mungkin kita mahu mengatakan suatu mazhab itu adalah salah sedangkan setiap imam2 itu punya alasan dan hujahnya yang tersendiri mengenai sesuatu hukum itu? Begitu juga dalam persoalan yang melibatkan falsafah yang akhirnya membuahkan suatu ilmu iaitu ilmu sains yang membuktikan sesuatu secara teknikal dan eksperimental dan bukan sahaja dengan menggunakan teori-teori dan hipotesis semata?

Suatu yang kita memang tidak boleh mendapat jawapan yang tetap dan sangat berbetulan dengan apa kaedah yang memungkinkan kita membuat suatu keputusan yang sangat tepat. Adakah juga setiap pilihan yang ada sebenarnya adalah salah dan hanya tuhan sahaja yang tahu apakah yang perlu diperlakukan atau sebenarnya memang tidak ada satupun yang kita boleh lakukan dan membiarkan sesuatu itu berlaku dengan begitu sahaja?

Kita memang cenderung membicarakan suatu yang tidak pasti. Suatu yang sangat subjektif. Suatu yang boleh dilihat dari pelbagai dimensi, yang pada hakikatnya ianya adalah sama, hanya kerana kita tidak punya banyak pilihan, atau juga kita dididik di acuan yang berbeza bentuknya di dalam persekitaran yang berlainan. Setiap manusia punya jalannya yang tersendiri dengan kaedah kehidupan yang tersendiri. Tapi kita masih punya pilihan dan terkadang pilihan itu terpaksa kita ambil sedangkan kita sendiri tidak suka dengan pilihan kita sendiri.

Tiada apa yang harus dipersalahkan. Kerana dengan melihat lebih dalam dari pelbagai dimensi, maka kita akan mendapat suatu jawapan pasti dalam diri sendiri dan itu adalah masih suatu yang sangat subjektif untuk disebut lagi pada hari ini.

Wednesday, March 18, 2009

Berpepatah - Dedicated tu Marone

Aku pernah dengar cakap-cakap orang, kalau nak beli baju, ukurlah kat badan sendiri. Bukan apa, takut-takut kalau kail kita yang panjang sejengkal, laut Selat Melaka kita belum tentu lagi boleh menduga dalamnya. Silap-silap jadi la kita macam si luncai, terjun dengan labu-labunya.

Kita terkadang selalu menjadi seperti tong kosong. Bila ada telur sebijik, riuh kita sekampung kecohnya. Bukan apa, manakan boleh bangkai gajah nak ditutup dengan pelepah nyiur kerana ianya dah tak jadi bau-bau bacang lagi. Bila dah terkena, pepatah air yang dicincang takkan putus dah tak terpakai lagi.

Terlajak perahu boleh diundur, kalau terlajak kata dan perbuatan? Apa pula natijahnya? Aku bukanlah nak menjadi seperti anjing yang menyalak bukit, hanyalah seorang budak yang baru hendak menjolok cempedak di luar pagar.

Memang pasti budi baik dibalas baik dan sebaliknya yang jahat itu dibalas jahat. Sepandai-pandai tupai melopat, ke tanah jugak jautuhnya ia. Tapi aku selalu tengok orang salah paham berkenaan bila masuk kandang kambing mengembek, kalau masuk kandang lembu melenguh. Kadang-kadang perlu jugak kalau kita masuk kandang kambing kita mengaum. Tapi yang silapnya bila ada kambing mengaum terus je nak cop mereka ni dah jadi musang berbulu ayam. Padahal yang nak mengaum ni nak bagitau masih ada musuh dalam selimut dalam kandang kambing ni. Takut sangat yang mengaum ni sebenarnya harimau yang padahalnya mmg dah sah-sah dia tu kambing jugak.

Jangan terasa, jangan melenting. Kalau ada jarum yang patah tu, jangan pula disimpan di dalam peti. Bukan apa, nanti takut pula jadi macam api dalam sekam. Yelah, sebab orang-orang melayu ni selalu jer bila dah gaharu cendana pula. Lagi nak bersuluh di siang hari. Pisang tu, bukan kata berbuah dua kali, padahal dah berkali-kali. Kenapa bila dah baling batu masih nak sembunyi tangan?

Konon katanya nak jadi seperti harimau, bila mati meninggalkan belang. Tapi sebenarnya sudah berkolah air keruh yang dah ditangguk tu. Dah kena dah tu. Bila buku bertemu dengan ruas. Bila dah terhantuk baru nak terngadah, jangan pula kata hari ni baru perasan langit tu tinggi ke rendah.

Oklah...Cakap siang, pandang-pandang. Kalau makan cili memang la pedas. Dukacita dimaklumkan. Jangan jadi macam ayam berak kapur tau lepas ni. Hehehe.

Thursday, March 5, 2009

Yang Punya Hak

Kata orang kecantikan tu pada mata yang memandang. Beautifulness is in the eyes of the beholder. Kita tak selalu tahu apa yang orang fikirkan tentang kita dan kita sekali-kali takkan memberitahu seseorang akan pandangan kita melainkan jika tidak ditanya atau seseorang itu merupakan seorang yang kita kenal dan kita concern terhadap apa yang dia lakukan.

Lain orang, lain kaedah pemikirannya. Dari situ akan lahir suatu fikrah yang berlainan yang mungkin membuahkan persetujuan atau akan menjadi perselisihan dan lebih teruk lagi kepada pertengkaran, pergaduhan, kepuakan dan jika dalam konteks lebih besar adalah peperangan.

Soal hak dalam berfikir, memang suatu yang paling kita tak dapat nak pertikaikan. Ini kerana variasi dalam pemikiran yang akan mencorakkan dan mewarnakan emosi sebuah dunia yang didiami oleh manusia seperti kita sebagai khalifah. Jika hari ini seseorang berfikir tentang suatu yang negatif terhadap kita, maka semuanya akan jadi negatif walaupun yang dilakukan oleh kita punya hikmah dan unsurnya adalah kebaikan. Inilah yang menimbulkan suatu istilah yang boleh dikatakan sebagai fitnah di hati. Maka luahan suatu fitnah di hati itu akan menjadi sebuah fitnah nyata yang sebenar-benar fitnah.

Kalau tidak masakan ada pepatah "Diri kita adalah apa yang kita fikirkan." Maka jika dipandang dari sudut sebaliknya, maka akan itulah yang kita fikirkan tentang suatu perkara yang kita fikirkan tentang suatu benda atau perkara. Sama ada ianya suatu yang bernyawa atau suatu makhluk lain yang tak mampu berbuat apa-apa.

Suatu yang amat pelik jika kita masih di sini, di takuk lama dan kurang pula berpanjangan fikirannya hanya kerana masih berpaksikan emosi dan berkiblatkan perasaan. Suatu perkara yang terlintas dan kita terfikir di minda, belum tentu ianya sahih sepertimana yang dilihat. Jadi tindakan itu pastinya memerlukan proses yang akan mengambil masa tidak kira bagaimana caranya ia. Sangat jarang kita sentiasa berkeputusan tepat terhadap sesuatu yang harus diselesaikan segera. Dan kegagalan selalunya akan ditudingkan kepada benda lain yang sebenarnya tidak perlu pun diperlakukan sebegitu. Keadaan mmg suatu yang selalu dipersalahkan. Tapi bukan keputusan yang yang dibuat dipersalahkan.

Kita punya hak dan suatu itu dilihat atas dasar apa yang difikirkan. Masing2 punya dimensi yang berlainan dan menilai sesuatu, membuat keputusan serta mengambil tindakan. Penilaian terhadap tindakan kepada keputusan itu penting. Itulah yang dipanggil pengalaman. Jangan dipatuk dua kali oleh ular dan lubang yang sama. Itu tandanya kita tidak belajar dan tidak bijak dalam erti kata lainnya adalah bodoh.

Lihat sesuatu, fikir dan nilai dahulu. Buat sesuatu, bijak pilih jalannya dahulu. Nilai ia pabila sudah selesai. Kerna kita punya akal, punya hati dan punya iman. Anugerah dariNya. Yang kita panggil Tuhan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...