Wednesday, August 17, 2011

Sesat Kerana Tak Diperdepankan

Kini sangat selalu aku tertanya sendiri, adakah suatu yang sepatutnya yang kita terkedepankan itu kadang-kadang boleh juga kita letakkan di belakang kerana kepentingan diri kita atau sebenarnya kita memang tidak boleh langsung meletakkanya di belakang. Adakah dengan meltakkan ianya di belakang menyebabkan kita boleh  menag dalam satu-satu situasi atau sebenarnya kita hanya menang dalam keadaan maya yang bukan realiti tetapi suatu macam akan akibat bakal menanti kita di suatu masa dan suatu tempat?

Kita sebenarnya memang tidak mampu lari dar kenyataan. Tapi kenyataan itulah yang kita selalu lari daripadanya. Kita lari kerana kita sangat takut menelan suatu yang pahit. Tapi kita lupa melarikan diri itu mempunyai nilai pengecut yang sangat tinggi dan tidak memberikan kita keuntungan jangka panjang. Kita mungkin untung jam ini, mungkin untung hari ini tapi pastikah kita bakal untuk di masa depan? 

Adakah dengan sentimentasi sendiri dalam kapasiti ilmu sebesar tempurung membolehkan kita mengambil kesimpulan selaut? Mampukah menceduk air dilaut mahu memenuhkan kolam dengan hanya berbekalkan sebuah tempurung bocor? Mengapa masih nak bermatian sedangkan hari ini kita sendiri takut nak temui mati kerana tahu bakal tidak selamat bila menemuinya nanti? Kalau belum sanggup, kalau belum berani, kalau belum kembali mengapa masih mahu menceduk?

Sila berhenti. Berhenti dari bermain lumpur dan najis babi. Kadang-kadang kit alebih suka bermandi lumpur kotor dari bermandi air mutlak yang mampun membersihkan diri dari lumpur. Tiada apa yang boleh kita buktikan kalau hanya tahu menyalak bukit sedangkan satu apa macam perkataan pun tidak keluar. Hanya makian-makian nista dan akhirnya sepatu bertumit keras itu singgah di kepala kita. Masa tu nak sedar pun tak guna.

Apa kata jadi pendiam, atau pemerhati atau lebih baik dengan mengkaji. Mungkin dengan cara itu boleh mengikis sedikit kebodohan menebal di minda yang sudah lama tak bercuci. Kerana semborono itu selalunya membawa kesesatan. Masa depan akan gelap. Kamu kekal di dalamnya atau kalau tidak pon kamu mungkin sampai lewat barang setahun dua.

Monday, August 15, 2011

Pendedahan Arlene Tan sebagai Sitt Al-Wuzara Satu Kesilapan - Gaysec

Akhirnya kecelaruan siapa individu sebenar penghina Islam Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara terbongkar apabila Gaysec membuat kenyataan rasmi bahawa mereka tersalah dedah. Seperti yang aku bagitahu sebelum ini Arlene Tan mungkin bukanlah inidividu sebenar berdasarkan kenyataan beliau sendiri di laman blog beliau (sila baca di entri asal). Berikut adalah link kenyataan mohon maaf oleh Gaysec di laman facebook mereka.

Menurut mereka, kini sudah ada suspek baru identiti sebenar Makcik Wuzara ini. Sila lihat fanpage Pendedahan Eksklusif-Siapa Sebenarnya Sitt Al WuzaraDi page ini ada maklumat lanjut mengenai pencarian semula identiti Makcik Wuzara ini. Menurut Obefiend makcik ini adalah seorang lelaki dan beliau tidak mahu mendedahkannya. Dengan rendah hati aku mohon maaf kepada Arlene Tan walaupun sebenarnya dalam entri lepas aku tak tuduh pon beliau adalah Al-Wuzara, tapi aku rasa bersalah jugak sebab siarkan isu ini di blog aku ni. 

Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang cuba lari dari akidah Islam sebenar. Kehidupan beragama sebenarnya bukanlah soal memilih cara hidup sahaja, tapi termasuk juga soal kepercayaan kamu kepada kepercayaan yang kamu harus percaya dan bertepatan dengan fitrah sebenar kamu sebagai manusia. Aku tahu di kalangan murtadin Islam masih tinggal saki baki iman kamu pada Allah. Kamu memilih jalan itu mungkin hanya kerana mahu lari dari syariat Islam yang kamu rasa banyak pantangnya. Kembalilah. Masih belum terlambat. Barakah bulan mulia ini semoga kamu didatangkan petunjuk dan hidayah Allah.

Wednesday, August 10, 2011

Murtad di Malaysia Kritikal - Isu Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara

Isu sebegini sebenarnya sangat serius. Serius sehingga anda akan berasa sangat terkejut kalau anda seorang yang bersensiviti tinggi terhadap Islam. Adakah sebenarnya isu murtad di Malaysia hanya suam-suam kuku dan terdapat satu dua kes sahaja? Kini perlembagaan yang menyebut hak kebebasan beragama di Malaysia sudah menjerut leher umat Islam sendiri. Ya, aku sangat benci loopholes dalam undang-undang. Tapi selagi mana ianya adalah undang-undang manusia, maka kelemahan bakal terlihat di situ di mana pihak yang berkepentingan akan menggunakan kelemahan ini sebagai senjata mereka menghancurkan kita.

Sebenarnya isu murtad tidak harus hanya melihat kepada penukaran dari Islam kepada agama lain sahaja. Sepertimana isu Aishah dan Lina Joy yang menganut Kristian. Tapi isu murtad juga harus dilihat kepada aliran pemikiran songsang yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam. Pendapat-pendapat yang menghina Islam, Allah dan rasulnya. Ini adalah kerana pengaruh daripada fahaman sekularisme, liberalisme, rasionalisme dan juga feminisme.

Kalau hari ini seorang umat Islam di Malaysia melahirkan seorang bayi yang secara automatiknya Islam, tapi jangan sangka pada masa akan datang bayi itu bakal mati dalam agama lain atau lebih teruk mati dalam keadaan tidak beragama. Yang semasa hidupnya mencaci maki agama dan lebih teruknya adalah agama Islam. Aku tak mahu tanya mengapa kerana bakal ada pihak yang mengaitkan isu sebegini dengan politik. Bila jadi isu politik tidak lain hanya menuding jari sesama sendiri padahal tak sedar diri sesama sendiri adalah Islam.

Baru-baru ni heboh pasal seorang individu makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara yang dikatakan telah membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad dan Islam secara terang-terangan  di laman facebook, twitter dan blog milik beliau. Beliau juga menyiarkan video-video yang menghina Islam yang diambil dari sumber-sumber ekstrimis Kristian. Dan dari apa pemerhatian dan siasatan, aku tak nampak bahawa beliau ini adalah seorang yang menganut Kristian ataupun lain-lain agama. Beliau hanya seorang yang aku kira Liberalis atau rasionalis yang sebenarnya tidak berpuas hati dengan hukum Islam yang melarangnya dari melakukan itu dan ini. Oleh sebab itu serangannya hanya bertumpu kepada Islam dan menghina norma-norma Islam yang mana beliau kira  sebagai menyekat hak asasi manusia.

Seperti yang pernah aku lontarkan, sebenarnya golongan seperti ini melancarkan serangan terhadap Islam adalah kerana sangat suka dengan hedonisme dan pada masa yang sama masih percaya yang Islam itu benar. Akan tetapi tidak berpuas hati dengan larangan Islam lalu membuat serangan terhadap norma dan hukum hakam Islam bagi menghalalkan suatu kemungkaran yang mereka mahu buat atau supaya orang lain percaya dan boleh menerima tanggapan songsang mereka terhadap Islam. Kaedah pemikiran rasional dan liberal digunakan bagi mempengaruhi agar pendapat ini boleh diterima. Lama-kelamaan mereka akhirnya sesat. Serangan yang dibuat lebih berani, bersifat menghina dan boleh dikatakan terkeluar dari agama Islam. Dan mereka sendiri pun tidak mahu dan malu digelar sebagai Muslim.

Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara khabarnya akaun facebook dan twitternya telah digodam oleh hacker (Gaysec) dan membawa penemuan individu Nor Arlene Tan Bte Khalid iaitu seorang Cina Muslim kacukan. Arlene menerima serangan terutamanya SMS yang mencaci maki beliau. Arlene telah membuat laporan polis bagi menafikan beliau adalah Sitt Al-Wuzara. 

Nor Arlene Tan Bte Khalid yang didakwa oleh Gaysec
merupakan  identiti sebenar  Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara

Penafian yang dibuat oleh Arlene menyebabkan kita sangsi dengan fakta yang didedahkan oleh Gaysec adakah mereka membuat pendedahan yang betul atau mereka ini sebenarnya tersalah orang. Dan boleh jadi Arlene melakukan pembohongan. Allah sahaja yang tahu.

Laporan polis Arlene terhadap Gaysec - Kredit gambar Milosuam

Klik di sini untuk lihat fail pendedahan Gaysec terhadap Arlene Tan mengenai Makcik Wuzara. Arlene Tan juga telah menjawab pertuduhan ini melalui blog beliau Purple Pearl's. Untuk pengetahuan semua, Facebook Makcik ini telah ditutup dan juga tweethandle beliau sudah tidak dapat dikesan. Akan tetapi beliau kini meneruskan sesi menghina di akaun Google Plus beliau.




Sebenarnya pada aku isu Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara adalah hanya salah satu kes yang berjaya kita expose ke public. Ini kerana beliau menghina Islam terang terangan di blog dan laman sosial. Bagaimana pula dengan kes terpencil yang tidak kita ketahui. Apakah hari ini isu ini panas dan akhirnya sejuk dan dilupakan dalam beberapa minggu lagi dan dilupakan manakala aliran sesat ini terus jadi virus dan menambah bilangan muslim yang menganutnya. Apa tindakan kita? Apa tindakan pihak berwajib? Kita mahu Malaysia menjadi seperti Indonesia yang Islamnya sudah berkecamuk dan bercampur baur dan dilihat sama seperti agama lain. Terpulanglah kepada anda menilai hal ini. Mantapkan diri dan jiwa anda dengan iman dan akidah Islam jitu supaya kita tidak terjerumus ke arah ini. Tuntutlah ilmu, kerana hanya dengan ilmu Islam itu boleh difahami dan di tegakkan atas paksinya.



Tuesday, August 9, 2011

Fail Typo - Malaysia Kini

Walaupun taklah FAIL mana pun. Tapi sebab susah nak kesan kesilapan yang dilakukan oleh Malaysia Kini, Aku post jugak gambar ni. Tapi diorang dah betulkan kesilapan tersebut.


iKLan Gangster - KL Gangster Versi Parodi

Nampaknya di Malaysia sekarang sudah semakin banyak mengeluarkan parodi sendiri. Ini adalah parodi KL Gangster yang mengiklankan produk-produk semasa di pasaran. Aku tak pasti diorang ni dapat duit tak buat promosi super LOL ini. Nah saksikan iKLan Gangster.









Sumber asal: Aman Wan Youtube via Blogbustas

Wednesday, August 3, 2011

Persoalan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.


Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam. 


Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87) 

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih. 


2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat. 

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah. 

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. 
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. 

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat 
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.


13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sumber Asal Zaharuddin.net

Review Buku - TENTANG & KENTANG @Saharil Hasrin Sanin



Salam Ramadhan diucapkan kepada semua. Semoga dirahmati, diampunkan dosa dan terlepas dari siksaan api neraka. Aku terpaksa buat ucapan Salam Ramadhan sebab tak ada entri khas Ramadhan tahun ni (sebenarnya malas nak buat).

Aku adalah antara follower tegar blog Saharil sejak tahun 2007 seingat aku. Maknanya sudah 4 tahun. Tapi kebelakangan ni sudah kurang sejak Saharil tinggalkan blog itu tidak berupdate berbulan lamanya yang aku pon tak pasti kenapa (aku agak Saharil putus cinta sebab entri selepas cuti lama tu kebanyakan berbaur kisah pelik putus cinta). Tapi kini aku membaca blognya semula setiap hari sepertimana dulu. 

Aku pun tak ingat sejak bila aku tahu mengenai pengeluaran Tentang & Kentang. Tapi ada awalnya aku tak rasa  nak beli kononnya aku dah baca semua entri beliau di blog. Tapi oleh kerana ternampak buku tu di Pesta Buku Selangor di SACC aku terus rasa nak beli. Memandangkan aku bawak duit tak cukup so aku tak beli pon. Minggu berikutnya aku suruh wife aku beli online Tentang & Kentang dari blog Sinaganaga.

Aku mula membaca Kentang terlebih dahulu kerana ianya banyak grafik dan tak perlu menghadap lama-lama.     Membaca Kentang adalah seolah aku membaca komik Doraemon kerana setiap kali selepas membaca satu entri aku akan gelak berguling dari ruang tamu ke dapur. Tapi semasa berguling aku masih keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Saharil dalam entri tersebut. Adakah Saharil sekadar berlawak atau sebenarnya memang punya mesej tertentu dalam setiap entri tersebut. Apa yang pasti lukisan dan lakaran cantik (lah sangat) tersebut membuat aku berfikir dalam apakah cerita sebalik ini. Dan aku cuma berharap agar Tentang mempunyai jawapannya.

Membaca Tentang agak berbeza dengan Kentang. Tentang agak lebih serius dan kadang kadang sangat serius sehingga aku hampir mengalir air mata membacanya (Tentang Radhi). Tapi keseriusan aku mahu menangis itu tidak kusangka hanya bersifat sementara. Bila membaca Tentang Gerakhas aku rasa mahu ketawa dan berlari laju-laju kearah dinding. Ya benar, aku hampir mahu langgar dinding itu. Saharil sebenarnya membuat luahan hatinya tentang sesuatu dalam bentuk tulisan menarik dan sedikit merogol tatabahasa Melayu agar ianya tidak menjadi bacaan berat. Aku tak pasti blog lamanya itu adakah sekadar beliau menulisnya untuk dirinya sendiri atau untuk bacaan umum ketika itu. Kerana tulisan-tulisan itu adalah sangat ikhlas dan telus. Aku harap Datuk Yusof Haslam tidak tersinggung kerana ciri ciri yang disindir Saharil itulah yang menyebabkan Gerakhas mendapat rating tinggi.

Kepada pembaca semua, kalau mahu tahu inilah dua buah buku yang mampu membuatkan anda rasa ingin terjun bagunan SPRM ketika membacanya. Tulisan ikhlas yang tidak berbohong serta sinis yang menyebabkan anda senyum sendirian seperti membaca surat cinta. Sebuah buku berkulit ala pornografi sehingga anda tidak sanggup membacanya secara terbuka di rumah mertua anda. Tulisan Saharil agak mempengaruhi aku dalam menulis blog, status facebook dan twitter. Penggunaan kurungan ( ) yang kerap menjadikan ayat itu lebih menarik dan kalau anda tidak baca tulisan dalam kurungan itu pun anda boleh faham ayatnya (tetapi tidak yang tersirat) yang cuba disampaikan oleh Saharil. 

Aku tahu Saharil mahu masyarakat sedar sesuatu. sesuatu yang kita selalu terlepas melihat melalui dimensi berlainan. Dan itulah menyebabkan kita selalu ditertawakan dan kita bertindak melulu dan bodoh terhadap sesuatu isu. Adakah dengan melulu menjadikan kita maju atau menjadi bodoh murakkab sahaja.

Sebenarnya aku amat berharap agar ada kesinambungan buku Kentang dan Tentang selepas ini. Walaupun di dalam Tentang sudah ada sedikit jawapan dari Kentang, namun ia tidak merungkai kesemua lukisan aneh Saharil itu. Semoga Saharil akan terus menulis dan melukis (aku sangat berharap lukisannya jadi cantik satu hari nanti) untuk terus merogol minda masyarakat agar melihat sesuatu itu dari satu sudut dan berprejudis akan sesuatu yang berlaku.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...