Wednesday, October 24, 2012

Mendefinisi Negara Islam atau Negara Sekular

Secara kasarnya, Malaysia adalah sebuah negara umat Islam. Ini kerana negara ini majoritinya rakyatnya penganut agama Islam dan kerajaan Malaysia pada awal penubuhannya meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara. Umat Melayu adalah golongan penganut agama Islam yang paling ramai di negara ini dan bertindak sebagai kaum majoriti yang mempunyai ketuanan di negara ini.

Sehingga hari ini masih ramai pihak yang berdebat mengenai 'KeIslaman' Malaysia sebagai negara yang mahu diisytiharkan sebuah negara Islam. Sesetengah pihak juga berpendapat bahawa dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi sudahpun memadai untuk melabelkan negara ini sebagai negara Islam. Sesetengah yang lain pula beranggapan keIslaman sesebuah negara itu terletak kepada kumpulan majoriti rakyat beragama Islam dan pemerintah adalah dari golongan yang beragama Islam. Semua orang mahukan negara mereka dilabel sebagai negara Islam kerana mereka percaya bahawa hanya Islam yang boleh memberikan keadilan sejagat kepada semua warganya terutama bagi mereka yang beragama Islam.

Mendefinisi sebuah negara sebagai negara Islam bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana Islam itu cukup lengkap bukan sahaja dalam soal ibadat dan munakahat (nikah kahwin) sahaja, namun terdiri dari segenap aspek termasuk undang-undang perlembagaan, hukuman jenayah, ciri pemerintah Islam dan lain-lain isu penting dalam konsep penubuhan sebuah negara. Untuk memahami konsep sebuah negara Islam kita hendaklah kembali kepada Sunnah Rasul terakhir Muhammad S.A.W sebagai pemerintah Islam pertama yang menjadi penguasa pada era akhir zaman.

Sebuah negara Islam terdiri daripada asas-asas yang teguh yang dinamakan sebagai sistem Khilafah (Sistem Khalifah Islam). Sistem ini terdiri daripada 3 prinsip asas iaitu Al-Malik, Al-Akbar dan Al-Hakam. Dalam konsep ini sebuah negara Islam adalah sebuah negara yang tunduk dan berserah diri kepada Allah yang mana Khalifah sebagai penguasa dan orang nombor satu yang akan tunduk berserah diri dan menyerahkan segala kekuasaannya di atas bumi kepada Allah sebagai pemilik sebenar kepada alam ini.

Konsep tunduk dan berserah diri (menyerahkan segala kedaulatan) kepada Allah sebagai pemilik sebenar inilah yang dinamakan sebagai Al-Malik. Segala kekuasaan manusia adalah bersifat kosong tidak boleh memberi sebarang manfaat atau mudharat melainkan dengan izin Allah yang maha memilik dan maha berkuasa kan setiap sesuatu. Segala kedaulatan bukanlah terletak pada raja atau pemimpin, akan tetapi terletak pada Allah dan raja adalah orang yang akan menyerahkan kepada Allah akan segala apa yang dikuasainya.  Namun begitu, konsep raja di dalam sistem khilafah ini bukanlah suatu mandat dari Allah sekiranya beliau bukan seorang Nabi.

Asas kedua iaitu Al-Akbar bermaksud penguasa tertinggi (supreme authority). Ianya bermaksud sesuatu perkara yang dilakukan oleh penguasa adalah diserahkan sepenuhnya kepada Allah untuk menjayakannya. Oleh yang demikian, penguasa yang yang baik adalah pengusa yang berusaha melakukan sesuatu untuk rakyatnya dan menyerahkannya kepada Allah sebagai penguasa sebenar yang mengizinkan sesuatu usaha yang dilakukan oleh manusia itu berhasil atau tidak. Oleh itu, sesuatu keberhasilan dari suatu negara itu atas usaha pemerintah adalah kerana keizinan Allah dan bukannya atas tangan usaha penguasa itu seratus peratus. Oleh itu penguasa akan jauh dari sifat bongkak dan takbur jika menjayakan sesuatu kerana semuanya atas izin dari Allah sebagai maha berkuasa atas sesuatu.

Konsep Al-Hakam adalah bermaksud, Allah adalah yang sebenar benarnya memberi hukum akan sesuatu. Segala hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah adalah wajib bagi penguasa untuk melaksanakannya dan menyerahkan kepada Allah sebagai menilai tahap keadilannya. Oleh itu dalam perkara-perkara jenayah berat dan besar, Allah telah menetapkan Hukum Had (Hudud). Hukum Qisas dan Ta'zir pula terserah kepada budi bicara kepada pemerintah untuk memberi keadilan berdasarkan pembicaraan. Namun begitu dalam hal ini penguasa hendaklah menyerahkan kepada Allah akan kebolehannya mengadili akan sesuatu perkara. Penguasa adalah manusia biasa yang tidak maksum dalam memberi keadilan dan semuanya diserahkan kepada Allah sebagai penghukum sebenar di hari akhirat. Ini bertepatan dengan suatu kisah di mana Rasulullah S.A.W telah didatangi oleh dua orang lelaki yang berbalah sesama mereka. Setelah Nabi mendengar dari kedua pihak maka baginda telah membuat keputusan dengan menghukum salah seorang dari mereka. Namun begitu, Nabi telah berpesan bahawa apa yang baginda hukumkan itu hanyalah berdasarkan kenyataan dari kedua belah pihak dan mungkin baginda tidak tahu cerita atau situasi sebenar. Baginda berkata keadilan baginda itu tidak berakhir di situ sahaja dan hanya Allah yang lebih tahu siapa yang lebih layak mendapat keadilan dan akan dibayar di hari akhirat nanti. Ini menunjukkan bahawa baginda nabi sendiri telah menyerahkan hukumnya itu kepada Allah sebagai penghukum sebenar kepada manusia.

Negara Sekular

Jika diteliti dari sudut sejarah, kelahiran aliran sekular adalah disebabkan oleh kepincangan yang berlaku dalam agama Kristian. Pada asalnya gereja mendapat tempat tertinggi dalam sebuah negara Kristian. Apabila kuasa di dalam gereja telah disalahguna, maka pemerintah telah meletakkan agama sebagai perkara lain dalam sesebuah pemerintahan dan mengasingkan kuasa gereja dalam kerajaan. Pengasingan antara agama dan pemerintahan inilah yang dipanggil sekularisme. Gereja akhirnya mendapat tempatnya tersendiri yang akhirnya terdapat pemerintah tertinggi gereja yang dipanggil sebagai Pope dan hanya berkuasa ke atas perkara-perkara berkaitan agama sahaja terasing dengan pemerintahan kerajaan.

Di akhir kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah, adaptasi fahaman sekular yang dibawa masuk oleh Mustafa Kamal Attarturk telah mempengaruhi sistem khilafah menjadi sistem sekular. Mustafa Kamal mengambil contoh jawatan Pope untuk diadaptasi kedalam Uthmaniyyah di mana umat Islam mempunyai ketua agama yang tersendiri berlainan dengan khalifah. Bermakna Khalifah telah mengasingkan hal-hal agama dan pemerintahan Khalifah sebagai penguasa pemerintahan dan Mufti (atau lain-lain jawatan agama) sebagai penguasa dalam hal agama. Oleh yang demikian keterhadan had kuasa ini menyebabkan kejatuhan Islam dan akhirnya sistem khalifah ini berkubur dan negara-negara Islam di dunia telah berpecah.

Ini adalah yang berlaku pada akhir era liberalisme Eropah. Lahirlah negara-negara sekular  kecil yang bermajoriti Islam. Tema pecah dan perintah (divide and conquer) itu telah berjaya. Walaupun negara-negara yang dijajah telah dimerdekakan dan diisytihar sebagai berdaulat, namun hakikatnya negara-negara ini masih terikat dengan persatuan-persatuan negara seperti PBB, ASEAN dan Komanwel. Selain itu negara-negara ini terikat dengan sistem matawang antarabangsa yang jelas menganiaya golongan kelas bukan bangsawan melalui suatu badan yang dipanggil sebagai BANK. Negara-negara ini melengkapi ciri asas sebuah negara sekular iaitu mempunyai sempadan, sistem kewarganeraan dan menpunyai raja yang berkuasa dalam agama dan melantik pemerintah melalui sistem yang dipanggil demokrasi.

Dalam ertikata lain bahawa, sistem sekular ini telah membawa turun tiga konsep asas dalam Khilafah dan diletakkan kepada pemerintah dan rakyat. Pertama, pemerintah adalah pemilik dan penguasa yang berhak ke atas negara. Kedua, pemerintah adalah penguasa tertinggi. Ketiga, undang-undang tertinggi adalah perlembagaan negara dan rakyat wajib bersetia kepada tiga perkara ini dan ianya diadaptasikan di dalam ikrar kenegaraan seperti Rukunegara atau Panca Sila (di Indonesia).

Kita harus tanya kepada diri kita sendiri, dalam kategori manakah negara kita termasuk di dalamnya. Ciri-ciri negara apakah yang kita warisi hingga ke hari ini. Adakah dengan mengingkari prinsip asas dalam kenegaraan Islam kita boleh diistilahkan sebagai syirik yang mana Rasulullah S.A.W telah menyatakan syirik pada akhir zaman itu sukar dilihat seperti semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap. Sesungguhnya kita mendiami suatu dunia yang tidak sepatutnya bersifat begini. Hanya dengan mengembalikan kekhalifan boleh menjadikan kita sebagai Muslim sebenar dan menjadikan diri kita Mu'min yang layak menerima ganjaran syurga di akhirat kelak.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...