Ramai orang tersalah faham, atau kurang mengerti atau diberitahu secara salah tentang entiti demokrasi. Kesilapan dalam pemahaman ini menyebabkan suatu keadilan tidak dapat diletakkan pada tempatnya. Ianya juga membawa kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan seterusnya perubahan kepada sistem kerajaan dan pilihanraya yang telus dan adil. Artikel ini adalah merujuk kepada amalan demokrasi dan praktis yang diaplikasikan di Malaysia.
Pertama sekali aku ingin sentuh entiti kerajaan. Kerajaan yang dibentuk dalam sistem demokrasi berpilihanraya adalah datangnya dari individu yang bertanding dalam kerusi parlimen dari pelbagai parti. Parti yang paling banyak memenangi kerusi akan bertindak membentuk kerajaan dan parti yang minoriti menang akan menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat. Perlu diingat disini bahawa, individu yang menjadi minoriti dalam dewan juga adalah tergolong dalam kerajaan kerana mereka adalah wakil yang dipilih oleh rakyat dari kawasan mereka masing-masing. Cuma bezanya jumlah kerusi yang sedikit dan mereka adalah pembangkang yang berfungsi sebagai 'balancer' kepada parti majoriti agar tidak berpakat atau berkeputusan yang boleh memungkinkan mendatangkan kerugian kepada negara dan rakyat. Di sini dilihat bagaimana pembangkang di dalam dewan berfungsi. Oleh yang demikian, parti yang mempunyai bilangan ahli parlimen yang lebih ramai boleh membentuk kerajaan dan melantik menteri-menteri di kalangan mereka dan jawatan Perdana Menteri. Mereka ini juga digelar sebagai Parti Pemerintah dan di sebelah lain sebagai Pembangkang.
Parti Pemerintah yang berfungsi sebagai kerajaan akan menguruskan pentadbiran sebagai pengurus dan pemegang amanah rakyat dalam menguruskan hal-hal negara seperti urusan kewangan, sosial dan kebajikan dan mempertahankan negara dari ancaman luar dan dalam negara. Perlu diingat di sini, walaupun parti pemerintah dan kerajaan adalah dari individu yang sama, akan tetapi secara teknikalnya mereka adalah dua entiti yang berbeza.
Menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan tidak bermaksud sepenuhnya parti pemerintah yang memberi sumbangan kepada rakyat. Sebagai contoh, sekiranya suatu bantuan kewangan yang diperolehi dari sebuah agensi kerajaan sebagai contoh Jabatan Kebajikan Masyarakat, hal ini tidak membawa maksud parti pemerintah yang memberi sumbangan tersebut kerana wang yang digunakan adalah wang dari hasil negara bukan wang daripada parti. Hasil negara bukan hanya diperolehi dari rakyat yang menyokong parti pemerintah sahaja, tapi dari semua rakyat. Oleh yang demikian tidak timbul kata-kata seperti "Kau ni, kerajaan dan beri kita macam-macam kemudahan, jalanraya, sekolah, bantuan rakyat tapi kau masih nak menentang kerajaan." Ini adalah salah. Menentang kerajaan dan tidak menyokong Parti Pemerintah adalah dua perkara berbeza.
Penentang Kerajaan
Siapakah yang selalu dilihat sebagai penentang kerajaan? Adakah dengan berpihak kepada parti pembangkang menjadikan anda penentang kerajaan? Sama sekali tidak. Pembangkang adalah pihak yang sebelum ini disebut sebagai pengimbang kepada kerajaan (balancer). Tidak menyokong parti pemerintah yang menjadi kerajaan negara adalah amalan sihat dalam demokrasi. Akan tetapi penentangan terhadap sultan atau kerajaan dengan niat merampas negara selain daripada kaedah pilihanraya seperti pemberontakan dan rusuhan barulah dikira sebagai penentang kerajaan yang berniat menjatuhkan kerajaan. Sekiranya pembangkang dilayan seperti puak yang memerangi kerajaan dan diperlihatkan seperti penjenayah, ini boleh dikira sebagai sekatan terhadap hak-hak demokrasi. Apatah lagi kalau media arus perdana yang digunakan sepenuhnya oleh parti pemerintah untuk mempromosi parti dan bukan dalam kepentingan kerajaan untuk rakyat, maka ianya dilihat sebagai pencabulan demokrasi. Media arus perdana sepatutnya digunakan untuk melaporkan aktiviti kerajaan, melaporkan suara pembangkang sekiranya terdapat ada unsur penyelewengan dalam kerajaan agar kerajaan boleh memperbetul kesilapan dalam sistem pemerintahannya. Media arus perdana juga boleh menyiarkan aktiviti parti di kedua belah pihak agar rakyat bebas memilih pihak mana yang lebih layak dipilih menjadi kerajaan dalam pilihanraya seterusnya.
Penggunaan Agensi Kerajaan
Adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya agensi atau jabatan kerajaan mahupun kakitangan perkhidmatan awam digunakan untuk kepentingan parti pemerintah. Sebagai contoh menggunakan perkhidmatan perisikan polis untuk mengetahui pergerakan ahli parti pembangkang. Pihak polis adalah berkhidmat untuk kepentingan negara bukan kepentingan parti. Menggunakan harta kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan untuk program dan majlis parti pemerintah (bukan program rasmi kerajaan). Sekiranya parti pemerintah boleh menggunakan perkhidmatan penggunaan harta ini, maka perkhidmatan ini harus dibuka juga kepada parti bukan kerajaan. Ini kerana harta tersebut adalah hak rakyat dan bukan milik parti pemerintah. Sekiranya tidak boleh digunakan maka jangan ada mana-mana pihak yang menggunakan selain daripada urusan kerajaan.
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang gagal difahami oleh rakyat Malaysia terutamanya perbezaan antara parti pemerintah dan kerajaan. Maka dengan itu banyak berlaku penyelewengan dan rakyat sukar membuat keputusan bila tiba pilihanraya. Rakyat mungkin serba salah memberikan undi kepada parti lain hanya kerana dimomokkan dengan kesalahfahaman antara kerajaan dengan parti yang mana satu yang berbudi kepada mereka. Menyamakan etiti kerajaan dan Parti Memerintah telah menyebabkan rakyat keliru.
Mungkin dengan kefahaman yang lebih tentang demokrasi dan mengetahui hak mereka sebagai rakyat bakal merubah iklim politik negara dan akan menjadi lebih professional lagi. Sebagai rakyat, kefahaman dalam sistem demokrasi adalah penting bagi memastikan keadilan sejagat dapat ditegakkan dan penyelewengan dapat dihindarkan.
No comments:
Post a Comment