Wednesday, January 25, 2012

Dilema Kemiskinan Rakyat

Situasi kini sudah berbeza. Dilihat hangat dan semakin panas. Kerajaan harus faham, harus prihatin dengan situasi semasa rakyat. Barangkali takrif kemiskinan harus didefinasi semula. Sudah tentu juga kaedah pembasmiannya juga adalah berbeza. Tapi adakah mereka tidak faham atau kini sudah terlalu seronok merobek rompak dan mengumpul kekayaan sehingga kaedah menjiwai jiwa rakyat masih menggunakan metod lapuk yang sebenarnya sudah tidak relevan.

Sebenarnya, adalah dua perkara yang berbeza apabila seseorang itu menyokong kepada pembangkang dan menjadi pembenci kerajaan. Suatu pihak yang menyokong penuh kepada pembangkang mungkin boleh dilabel sebagai pembenci. Tapi bukan benci kepada kerajaan, tapi benci kepada individu dalam parti pemerintah yang kini menjadi kerajaan. Satu pihak lagi yang menjadi benci kepada kerajaan tidak harus terus dilabel sebagai penyokong parti pembangkang. Mungkin juga pada masa yang sama tidak berkeyakinan yang parti pembangkang mampu membawa negara ke arah suatu yang lebih baik dari kerajaan yang ada sekarang.

Jangan ambil mudah isu rasuah dan seleweng juga salahguna kuasa. Begitu juga media kerajaan yang dimanipulasi menjadi lidah parti pemerintah. Harus dibezakan. Media massa adalah tempat melapor dan mungkin medan untuk rakyat menilai siapakah yang lebih layak diundi pada pilihanraya akan datang. Kalau terlalu dominan kepada pihak tertentu ianya akan jadi berat sebelah dan rakyat melihat sebagai suatu ketidak adilan.

Adakah rakyat kini miskin sepertimana miskin sewaktu 10 tahun pertama selepas merdeka? Adakah kini bantuan berupa kewangan masih relevan dalam realiti kehidupan kini? Sepertimana awal takrifan kemiskinan mungkin perlu didefinasi. Sebagai contoh, istilah "miskin bandar." Adakah mereka yang miskin bandar ini adalah orang yang susah, atau sakit yang tak berupaya bekerja? Tapi mereka adalah orang yang bekerja cuma bergaji kecil dan mungkin mengalami kesempitan kalau hidup di bandar dengan kos sara hidup tinggi.Tidak bermaksud gaji kecil tadi akan menjadi kecil bilamana mereka tidak tinggal di bandar. Taraf hidup mereka mungkin setara dengan rakyat biasa bergaji dengan nilai yang sama sekiranya hidup di luar bandar. Satu soalan. Adakah dengan pemberian "one off" bakal merubah taraf hidup mereka? Setahun? 10 tahun atau hanya seminggu? 

Mungkin ini yang gagal difahami. Bajet besar sebegitu rupa mungkin boleh dimanfaatkan dengan mengawal harga barangan dalam pasaran agar tidak terlalu tinggi sesuai dengan pendapatan mereka. Mungkin untuk suatu tempoh yang lama. Wang itu juga boleh digunakan dalam pembasmian tol yang mana mungkin harga tol boleh dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat agar boleh menjimatkan kos harian penduduk bandar. Inilah konsep keadilan sesama rakyat dan keselarasan pendapatan yang boleh dikuasai semua.

Malaysia adalah negara kaya. Sayangnya kerana rasuah, kekayaan tidak dinikmati oleh semua pihak. Jurang pendapatan isi rumah yang besar dan kaedah pembasmian kemiskinan yang mungkin tidak efektif. Kita tidak perlu terlalu mendabik dada bila menyerahkan wang bantuan kepada rakyat. Hanya tanya satu soalan, sejauh mana atau selama mana bantuan ini boleh mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kemiskinan. Adakah kaedah yang dipraktis masih relevan atau ianya kelihatan ketinggalan dan layak digunapakai ketika 45tahun lepas sahaja? 

Adakah menjadikan diri kaya raya apabila menjawat jawatan menteri memberi kesan kepada keseluruhan kaum yang sama warna kulitnya dengan kita? Atau hanya kita, saudara mara kita, kawan-kawan rapat kita atau puak yang sealiran dengan kita merasa  kekayaan itu bersama kita? Kata Plato, keadilan itu meletakkan suatu itu pada tempatnya. Mungkin kini sudah sampai masa kita meletakkan keadilan itu pada tempatnya. Dan juga meletakkan Islam itu atas asasnya yang sebenar. Mungkin penghijrahan ini ada manfaatnya. Masanya sudah tiba. 


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...