Wednesday, January 16, 2013

Kisah Ashab al Ukhdud dan Pengajarannya

Saya terpanggil untuk menceritakan tentang sebuah kisah yang telah direkodkan dalam Sahih Muslim yang merupakan huraian dari sebuah kisah dalam al-Quran dalam surah al-Burj. Perkataan Ashab al-Ukhdud telah disebut secara soreh di dalam surah ini yang berbunyi:







Surah Al-Burj (85:4-8)

Di dalam ayat ini Allah telah mencela dan menceritakan secara ringkas tentang kezaliman pemerintah yang cuba memalingkan akidah dan memaksa orang yang beriman dari mengimani Allah yang Maha Esa. Ancaman-ancaman ini dalam bentuk yang sangat keras dan bebentuk penegasan (taukid) dalam bahasa Arab dalam gaya bahasa yang tinggi. Kisah ini telah diceritakan secara terperinci oleh Muhammad S.A.W. dalam suatu hadis panjang bermafhum seperti berikut:

Haddab Bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah daripada Tsabit bin Abdul Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Nabi saw besabda, Pada zaman sebelum kamu, ada seorang raja memiliki seorang tukang sihir diRaja. Apabila tukang sihir tersebut meningkat usianya, dia memilih seorang anak remaja untuk mengajarnya ilmu sihir. Di antara rumah anak remaja tersebut dengan rumah tukang sihir itu ada seorang rahib yang mengajar dan memberi peringatan kepada masyarakat. Anak remaja tersebut tertarik dengan ajaran peringatan rahib itu. Pada suatu hari, di dalam perjalanannya anak remaja tersebut terserempak dengan sejenis binatang merayap atau sejenis ular yang menganggu orang ramai. Beliau mengambil seketul batu sambil berkata,”Wahai tuhan, sekiranya ajaran rahib itu lebih Engkau sukai dari ajaran sihir, maka Engkau bunuhlah ular itu dengan batu ini.” Lalu dilontarnya batu tersebut dan berjaya membunuh ular berkenaan.
Ekoran peristiwa itu, anak remaja tersebut meneruskan pembelajarannya dengan rahib tersebut sehingga mahir dan mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit sopak, kusta serta penyakit-penyakit lain. Pada suatu hari, salah seorang pembesar (sahabat) raja telah buta matanya dan berjaya disembuhkan oleh anak remaja tersebut. Semasa menghadap raja, raja bertanya kepada pembesar itu, “Siapakah yang telah memulihkan penglihatannmu?” Beliau menjawab,”Tuhanku.” Mendengarkan jawapan itu raja murka lalu menyiksanya.
Seterusnya baginda telah diberitahu tentang anak remaja berkenaan lalu diseksanya anak remaja tersebut sehinggalah dikhabarkan tentang rahib, gurunya. Rahib ini juga enggan meninggalkan agamanya,lalu digergaji badannya. Kemudian didatangkan anak remaja tadi dan dibawa ke sebuah bukit untuk dihumbankan dari puncaknya. Remaja itu telah berdoa dan berjaya membangkitkan simpati masyarakat. Mereka telah mendesak dan akhirnya remaja itu terselamata. Seterusnya mereka membawanya menaiki Qurqur, iaitu sebuah bahtera kecil dan mereka cuba untuk menenggelamkannya. Anak remaja itu berdoa lagi, akibatnya kapal yang mereka naiki karam dan anak remaja itu sebaliknya terselamat.
Akhirnya anak remaja berkenaan berkata kepada raja tersebut,”Tuanku tidak dapat membunuh patik sehinggalah tuanku himpunkan manusia di suatu kawasan lapang dan kemudian tuanku salibkan patik di satu batang pokok tamar. Seterusnya tuanku ambil anak panah dari karung panah hamba dan panahlah hamba dengan sambil menyebut,”Dengan nama Allah, Tuhan anak remaja ini.”
Raja tersebut memanahnya sebagaimana yang dinyatakan dan mengenai bahagian pipinya. Remaja tersebut meletakkan tangannya pada tempat panahan tersebut dan terus meninggal dunia. Melihat peristiwa tersebut orang ramai yang hadir berkata, “Kami beriman dengan Tuhan anak muda ini.” Ketika itu ada yang menyebut kepada raja tersebut,”Telah berlaku apa yang tuanku bimbangi selama ini.” Lalu raja memerintahkan supaya digali liang-liang yang diletakkan titian pada permukaannya dan dinyalakan api di dalamnya. Raja yang zalim itu mencampakkan sesiapa sahaja yang tidak ingin kembali dari agama mereka ke dalam api tersebut sehinggalah tiba giliran seorang wanita bersama bayinya.
Wanita tersebut takut dan teragak-agak dari dihumban ke dalam api tersebut sehinggalah bayi itu bertutur,”Wahai ibuku, bersabarlah. Sesungguhnya engkau di jalan yang benar dan ini hanyalah satu kesulitan kecil.” Lalu ibu tersebut bersabar dan tabah menghadapinya.
Sahih Muslim Hadis No 3055.
Siapa Ashabul Ukhdud?
Dalam Surah ini ianya jelas merujuk kepada golongan penggali parit (Raja negeri Najran dan pengikut beliau yang setia) yang cuba memesongkan Ghulam dari terus beriman kepada Allah dan memaksa beliau dengan ugutan bunuh, namun kekuasaan Allah yang maha berkehendak, beliau diselamatkan dan kembali kepada raja bagi menunjukkan kebenaran Allah S.W.T. Dalam dua sumber ini juga (Surah al-Burj dan Hadis Muslim) kita dapat lihat bahawa cabaran dakwah dalam menegakkan akidah umat yang rosak serta pemerintah yang zalim adalah suatu yang amat sukar dan sangat-sangat memerlukan pertolongan Allah dalam menyampaikannya.

Kalimah ALLAH sebelum kedatangan Muhammad
Dalam hadis ini jelas, penggunaan kalimah Allah telah digunakan sebelum kelahiran Nabi Muhammad lagi. Ini bersangkutan dengan sabda Nabi "pada zaman sebelum kamu" yang menunjukkan peristiwa tersebut berlaku di zaman sebelum itu. Penggunaan kata Bismillah iaitu Dengan Nama Allah juga disebut secara soreh dalam hadis tersebut. Ini dengan jelas terbukti kata Allah untuk merujuk tuhan yang Esa telah dikenali (recognized) sebelum Muhammad lagi dan bukannya bermaksud hanya Muhammad yang membawa kata tersebut sebagai merujuk kepada Tuhan orang Islam. Bahkan ianya merujuk kepada tuhan kepada semua makhluk sama ada manusia atau makhluk lainnya.

Menentang pemerintah zalim
Perjuangan menafikan pemerintah yang zalim, adalah sangat jelas dalam kisah ini. Ianya bermaksud kata Ashabul Ukhdud itu bukanlah berujuk kepada raja Najran itu saja, akan tetapi pemerintahan yang zalim juga berlaku di zaman lain selepas Nabi Muhammad S.A.W. Mungkin kaedahnya berbeza tapi isinya sama. Menindas dan cuba menjauhkan manusia dalam negerinya dari akidah sebenar. Dalam konteks semasa hal ini dilihat melalaikan dengan hiburan dan kecintaan dunia merupakan salah satu bentuk memalingkan malah memaksa manusia dari memahami hakikat akidah sebenar. Tugas mendidik anak untuk menjadi seorang Islam yang baik merupakan tanggungjawab ibu bapa. Manakala menyediakan persekitaran yang sihat dari segi rohani dan jasmani merupakan tanggungjawab pemerintah. Didikan yang sempurna dari ibu bapa juga boleh goyah kalau mendiami suatu persekitaran rohani yang tidak sihat. Justeru bukanlah suatu kejelekan jika ibu bapa seorang yang beriman mempunyai anak yang rosak akhlak dan lebih teruk menjadi golongan yang murtad ketika dewasa kerana mendiami persekitaran rohani yang rosak juga boleh menggugat akidah seseorang.
Ada yang mengatakan bahawa hiburan hanya sekadar itu walaupun ia bersifat berlebihan namun tidak merosakkan akidah kerana mereka masih percaya kepada tuhan. Tanggapan ini adalah silap kerana kecintaan kepada hiburan, membuatkan manusia lupa kepada tanggungjawab ubudiyyah yang akhirnya mereka bakal memusuhinya kerana dilihat menyusahkan. Rentetan itu mereka akan mencari dalil-dalil yang boleh digunakan untuk mengelaknya dan mentafsir ayat Al Quran dan Hadis mengikut rasional akal yang akhirnya membawa kesesatan dan seterusnya kemurtadan. Ini adalah bentuk memalingkan dari akidah dengan kaedah baru, halus dan tersusun. 
Semoga Allah melindungi kita dari bahana kecelakaan ini. Nikmat iman adalah nikmat terbesar yang telah diberikan kepada kita. Jika nikmat tidak dijaga maka ianya bakal ditarik dan kita akan teraba-raba mencari cahaya di dalam gelapnya kesesatan.





1 comment:

ImaNix said...

penah dgr kt IKIM...sgt serupa citer ni dgn huraian ustaz tuh...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...