Isu hudud yang ditimbulkan semula hari ini adalah rentetan daripada kisah hudud yang telah diperbincangkan berbelas tahun dulu semasa zaman Mahathir lagi. Sekali lagi pihak kerajaan masih belum menampakkan kesediaan mereka dalam melaksanakan hal ini mahupun melepaskan Negeri Kelantan yang telah meluluskan undang-undang syariah negeri berlandaskan hukum Islam ini.
Ada beberapa persoalan yang timbul. Pertamanya, kalau pihak kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan undang-undang tersebut atas persetujuan sultan, mengapa tidak sahaja dilaksanakan terus undang-undang tersebut tanpa menoleh kepada pihak kerajaan pusat? Jawapannya adalah semasa zaman pemerintahan Mahathir ketika mana Nik Aziz telah bersuara menguatkuasakan hudud, Negeri Kelantan telah diceroboh oleh Mahathir seperti ianya telah darurat. Ini telah menjejaskan sosio ekonomi negeri itu dan akhirnya Nik Aziz telah stand down dari melaksanakan hudud.
Persoalan kedua, kecaman oleh pemimpin parti bukan Islam yang merupakan sekutu Pakatan Rakyat. Pada aku dalam hal ini pihak bukan Islam tidak perlu risau dan takut. Ini kerana sudah jelas bahawa peruntukan hudud ini hanya terpakai kepada rakyat yang beragama Islam sahaja. Lagipun ianya adalah perkara jenayah berat seperti mencuri, membunuh dan rompak. Kalau anda bukan seorang penjenayah, apa sebenarnya yang hendak ditakutkan. Aku pasti dalam mana kita melaksanakan hudud, kadar jenayah dalam negara boleh turun secara mendadak. Oleh yang demikian persoalan hudud tidak relevan kerana negara ini bermasyarakat majmuk adalah tidak berasas langsung. Mereka sebenarnya tidak faham tapi seperti sudah ditakut-takutkan dengan cerita dongeng tentang hudud.
Persoalan Ketiga, di kalangan orang Islam sendiri juga terdapat kecaman terhadap hudud. Antara perkara yang dilontarkan adalah hudud adalah suatu bersifat kuno dan zalim. Akan tetapi adakah sebenarnya mereka faham bahawa dalam menyabitkan pesalah dalam hudud, ianya adalah sangat ketat dan hanya sedikit keraguan sudah cukup untuk melepaskan si pesalah dari dikenakan hukuman. Contoh paling mudah adalah kes zina. Adakah mudah bagi kita mensabitkan kesalahan kalau mahukan 4 orang saksi dalam pendakwaan? Saksi pula mesti yang adil dan melihat kejadian dari awal sehingga akhir dengan jelas dan tidak dalam kesamaran. Di zaman Rasulullah sendiri tiada kes zina yang disabitkan lalu dijatuhkan hukuman atas dasar saksi dan pendakwaan. Kes yang telah dihukum oleh Rasulullah sendiri adalah disebabkan pengakuan pesalah sendiri dan juga kesediaan mereka untuk menerima hukuman. Ianya tidak semudah kes sivil hanya dengan pembuktian DNA, air mani, tilam atau kesan pada kemaluan sudah boleh disabitkan kesalahan. Empat orang saksi yang adil itu mesti dan tidak boleh tidak jika mahu sabit kesalahan. Dan hanya kalau si tertuduh tidak mengaku maka kes boleh digugurkan sekiranya tiada empat orang saksi dan pihak yang menuduh boleh dihukum qazaf.
Persoalan Keempat, soal kesediaan rakyat dalam penerimaan hudud bukanlah isu besar. Ini kerana ruang lingkup pelaksanaan adalah hanya di kalangan orang Islam sahaja. Umat Islam hanya perlu diberi faham tentang hudud dan kalau mahu dikupas kalau tidak silap aku hanya ada 7 kesalahan sahaja dalam hudud. Bukan banyak pun. Dalam masyarakat sekarang yang serba moden, canggih dan berpelajaran aku rasa tidak terlalu sukar dalam memberi maklumat dan ilmu mengenai hudud dan kalau mahu disediakan dari segi mental rakyat Malaysia aku rasa dalam tempoh 3-4 tahun sudah mencukupi dalam menyediakannya. Kefahaman adalah yang paling penting sekali dan barulah pelaksanaannya itu jadi mudah.
Mungkin pelaksanaan hudud ini tidak boleh dilaksanakan serta merta tapi kalau kita punya target untuk melaksanankannya pada aku ianya adalah mudah dan mempunyai hikmah yang besar di dalamnya. Islam mengambil tindakan awal dan langkah pencegahan dalam membentuk umat. Oleh itu hudud adalah jawapan yang paling mujarab menyelesaikan permasalahan jenayah kejam yang sangat menakutkan ketika ini. Mungkin kerajaan pusat harus menjadikan Kelantan sebagai pilot project dalam menilai hudud sebagai suatu undang-undang rasmi negara. Mengapa harus takut kalau sebenarnya kita tidak punya ilmu pun tentang hudud. Sesungguhnya tidak tuhan datangkan Al-Quran itu sia-sia kerana isinya itulah initipati cara sebenar bagaimana manusia ini harus hidup dan akan kembali kepadanya dengan suci.